CATATAN PERAWAT

SEGALA  puji dan puja bagi Allah sekelian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat-sahabat baginda.

Setelah beberapa tahun  membantu memulihkan mangsa sihir dan pesakit yang mengalami masalah gangguan makhluk halus melalui rawatan Syifa’ Islam, saya merasa seperti terpanggil untuk menulis dan menghimpun catatan serta pengalaman sepanjang merawat mangsa samada berkunjung ke rumah mereka atau pesakit sendiri datang ke kediaman saya.

Kebelakangan ini saya agak kerap melakukan rawatan syifa’ terhadap pesakit wanita ekoran permintaan  para suami yang berhajat agar saya melakukan rawatan keatas isteri mereka. Mereka melahirkan rasa kurang selesa  dirawat oleh perawat yang kebanyakannya lelaki. Atas tanggungjawab dan dorongan inilah saya merasakan perlu membantu sekaligus memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Sepanjang mengadakan sesi rawatan Islam, saya memperdengarkan beberapa potong ayat-ayat al-Quran kepada pesakit. Biasanya dimulakan dengan bacaan surah al-Fatehah diikuti surah al-Baqarah ayat: 255 diikuti surah al-Hasr ayat: 21 – 24, surah al-Jin ayat 1 – 9 dan al-Mukminun  ayat: 115 – 118. Sekiranya mereka mengalami gangguan akan timbul reaksi seperti  pening kepala, mabuk, muntah,  menggeletar, pengsan, kesejukan dan berdebar-debar. Ketika inilah jin akan berkomunikasi dengan saya melalui lidah pesakit. Biasanya, mereka meraung dan meminta berhenti membaca Al-quran. Ketika inilah saya akan mengemukakan soalan berikut: 
  • Siapa nama kamu?
  • Apakah agama kamu?
  • Kenapa kamu masuk ke dalam tubuh orang ini?
  • Apakah kamu dihantar oleh seseorang?
  • Dimanakan kamu berada di dalam tubuh ini?
Sekiranya  saya berdepan dengan jin beragama Islam,  saya agak sedikit berlembut dengan memujuk dan memberi nasihat serta peringatan. Saya bertindak sesuai dengan tujuan jin itu masuk ke dalam tubuh pesakit. Jika jin itu memasuki tubuh kerana kezaliman pesakit  saya memberitahunya bahawa pesakit itu tidak tahu dan tidak sengaja.

Jika Jin itu masuk ke dalam tubuh pesakit kerana mabuk cinta kepada manusia, saya menjelaskan bahawa tindakannya adalah haram. Saya memperingatkannya tentang balasan Allah pada hari kiamat.  Kalau jin itu bersetuju untuk keluar  saya meminta jin itu membuat akujanji berikut:

"Saya berjanji kepada Allah SWT bahawa saya akan keluar dari tubuh orang ini dan tidak akan datang lagi kepadanya, juga saya tidak akan masuk ke dalam tubuh kepada salah seorang dari kaum Muslimin. Jika saya mengingkari janji saya, maka saya akan dilaknat oleh Allah SWT, para malaikat dan seluruh manusia."

Sebenar ada beberapa perangai jin yang perlu diketahui dan  boleh dikongsi bersama. Untuk rekod, jin ada yang  memekik dan mengancam . Dalam situasi ini kita tak perlu takut. Sebaliknya pukul jin tersebut dan berilah pelajaran kepadanya, mudah-mudahan dengan izin Allah,  jin tersebut akan diam.
Kadangkala ada jin mencaci,  maka janganlah marah kepadanya. Kadangkala jin itu memuji  katakan “Aku adalah seorang hamba yang lemah, keluarlah engkau kerana taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya." Jika  ingin tahu tentang akidah jin tersebut, maka bacakanlah kepadanya Surah Al-Maidah -  Ayat 72

Demi sesungguhnya! telah kafirlah orang-orang Yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain, maka Sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang Penolong pun bagi orang-orang Yang berlaku zalim".

Kadangkala ada jin yang lari ketika melafaz janji.  Dalam keadaan ini bacakan berulang-kali surah Ar-Rahman – Ayat:  33-36)

33 Wahai sekalian jin dan manusia! kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan kami), maka cubalah kamu menembus keluar. kamu tidak akan menembus keluar melainkan Dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan kami; Masakan dapat)!
34. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?
35. kamu (Wahai golongan Yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan Dengan api Yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); Dengan Yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);
36. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

Ada jin yang tidak tahu cara untuk keluar, dalam menghadapi hal ini, maka azan di telinga pesakit. Jin juga kadang-kadang mengenakan syarat untuk keluar. Jika syarat yang dimintanya itu supaya taat kepada perintah maka turutilah dia, akan tetapi haruslah anda jelaskan kepadanya, bahawa ketaatan tersebut bukanlah kerana mentaati jin akan tetapi kerana taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika permintaan syaratnya itu supaya melakukan kemaksiatan, maka janganlah diikuti. 

Sepanjang tempoh saya merawat sehingga sekarang, saya tidak pernah melihat  jin dalam kewujudannya yang asli, kerana Allah s.w.t.telah memperkenankan permohonan Bapak JIN (ketika mula diciptakan) agar ia dapat melihat tetapi ia sendiri tidak dapat dilihat.

Firman Allah (bermaksud): “Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari semua tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.” – (Surah Al-A’raaf: 27)

Kalau ada sesiapa  yang mendakwa dia telah melihat jin/Syaitan (dalam keadaan rupa sebenar) maka dia telah berdusta, kecuali dia seorang nabi. Sebab bagi para nabi melihat jin adalah suatu mukjizat (merupakan bukti kenabian). Al-Qusyairi menyatakan, “Allah s.w.t sudah menetapkan (mengikut hukum alam) bahawa anak cucu Adam tidak akan dapat melihat syaitan di dunia.”

Dalam buku ‘Aqidah Islam’, Prof. Sayyid Sabiq menulis, jin atau syaitan itu secara aslinya tidak dapat dilihat oleh mata (zahir). Tidak diketahui bagaimana bentuknya tetapi mereka mempunyai kuasa menjelma diri dalam bentuk lain, menyerupai sahabat terdekat, kekasih atau suami seorang wanita dan haiwan.

Dalam hal ini (lebih-lebih lagi untuk waktu yang lama) adalah sesuatu yang sulit dilakukan oleh JIN mahupun syaitan. Ia memerlukan kondisi-kondisi jasmaniah dan psikologi yang membantu dan terjadinya pula pada waktu-waktu tertentu sejalan dengan kebolehan jin atau syaitan itu. Jin dan syaitan sebenarnya menderita kesakitan sewaktu menukar jasadnya ke dalam bentuk asal. Ia memerlukan masa yang lama dan proses pertukaran ini mengalami penderitaan yang teruk.

Di samping itu ia juga takut akan perkara-perkara yang boleh mengakibatkan risiko (kerana ia pun takut akan manusia) sama ada tertangkap atau mati dibunuh. Bila tertangkap dan dibaca kepadanya Ayat Kursi nescaya akan menggeletar sehingga boleh mengalami stress berat dan akhirnya mati. Kalau tidak pun ia akan lemah-lunglai dan menjadi tidak bermaya.

Saya mengalukan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi perawat kerana ia adalah satu TUNTUTAN FARDU KIFAYAH. Tugas murni yang diharuskan oleh syariat selagi tidak mengandungi unsur syirik. Namun apa yang perlu saya tegaskan di sini bahawa untuk menjadi seorang perawat bukan sesuatu yang longgar dan mudah kerana ia memerlukan istiqamah, komitmen serta ketahanan diri zahir dan batin. Pertolongan dan bantuan Allah Subhanahu Wataala dalam apa jua bentuk sekali pun amat diharapkan terutamanya dalam situasi berdepan dengan pesakit  yang mengalami gangguan sihir.

Sesiapa yang ingin menjadi perawat disyaratkan menghafal dan mengingati ayat-ayat yang akan saya nyatakan dibawah nanti, Selain itu mereka mestilah menjaga akhlaknya baik sesama manusia atau terhadap Allah Subhanahu Wataala. Perawat perlu memelihara solat, puasa, perkataan, pertuturan serta menjaga siqah selain menjauhi prasangka sesama manusia. Perawat perlu menghidupkan malam bermunajat dengan berqiamullail sambil mendirikan solat Tahajjud dan solat sunat seperti solat sunat Hajat, solat sunat Taubat dan sebagainya.

PESANAN KEPADA PERAWAT:

1. Ikhlas dan Tawadhuk.
2.     Mendapatkan ilmu daripada guru.
3.     Bersabar dengan segala bentuk dugaan dan ujian.
4.     Tidak menetapkan bayaran rawatan.
5.     Menyimpan rahsia pesakit.
6. Dilarang mengatakan “ Buatan orang atau sihir”
7.     Memberikan harapan kepada pesakit.
8.     Yakin, berikhtiar dan bertawakkal kepada Allah.
9.     Mendukung kalimah Allah dan menegakkanya.
10.   Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam.
11.   Tidak menyakiti haiwan tanpa sebab terutama anjing dan kucing.
12.   Mengetahui muslihat Jin/Syaitan.



Ikhlas daripada saya,

Hajah Humaira binte Ahmad
Rawatan syifa’ al-izzah
17 April 2010